Panduan pengurusan gaji bulanan

pengurusan-gaji-bulanan.jpg

Sebagai seseorang yang bekerja makan gaji bulanan, sudah pasti anda mempunyai banyak perancangan untuk berbelanja. Kadangkala anda juga banyak terbeli barang yang tidak dirancang apabila rambang mata sewaktu jalan-jalan membeli belah, lebih-lebih lagi kaum wanita. Tanpa disedari anda terlebih membelanjakan pendapatan anda. Lebih teruk lagi apabila anda belum memperuntukkan jumlah untuk membayar hutang, dan gaji anda habis sebelum masuk gaji bulan seterusnya. Hal sebegini sudah tentu membingungkan anda.

Masalah menguruskan gaji bulanan bukan masalah yang dialami segelintir orang sahaja. Kebanyakan masyarakat moden sekarang, mungkin juga anda sendiri, mengalami masalah menguruskan pendapatan. Hal ini mungkin timbul kerana anda tidak menguruskan pendapatan dengan bijak. Tetapi ada cara-cara yang baik untuk menguruskan wang anda.

Sediakan Belanjawan Bulanan

Rancangkan belanjawan bulanan anda. Mulakan dengan membuat senarai perbelanjaan bulanan kepada dua bahagian. Bahagian pertama untuk keperluan asas seperti makanan, kos bekerja, bil elektrik, pinjaman rumah, pinjaman kereta dan sebagainya. Bahagian kedua untuk perbelanjaan lain seperti membeli-belah, melancong dan berhibur dengan rakan-rakan anda.

Bayar hutang dengan segera

Perkara pertama yang harus dilakukan sebaik sahaja mendapat gaji adalah membayar hutang. Ini termasuklah bil elektrik, telefon, pinjaman dan sebagainya. Hal ini amat penting supaya kos keperluan harian anda tidak terganggu. Dengan menyelesaikan semua perkara ini terlebih dahulu anda sudah tentu akan lebih tenang berbelanja.

Peruntukan untuk Simpanan

Jika selama ini anda biasa menyimpan baki selepas berbelanja, sekarang cuba peruntukkan simpanan sebelum anda berbelanja. Ini penting untuk mengelakkan anda daripada berbelanja sesuka hati.

Buat Senarai Kewangan Harian

Simpan resit setiap kali berbelanja. Catatkan semua perbelanjaan anda setiap hari. Cara ini juga bagus untuk menjejaki perbelanjaan, supaya anda dapat menganalisa barang-barang yang anda tidak perlu beli di bulan yang akan datang.

Miliki Dua atau Lebih Akaun Bank

Buat dua akaun bank yang berbeza. Gunakan satu akaun untuk keperluan harian seperti, kemasukan gaji, membayar bil dan membeli-belah. Bagi akaun kedua, gunakan khusus untuk menabung. Tetapkan jumlah minimum berapa peratus yang harus anda simpan dari gaji bulanan anda. Anda harus melakukannya sebagai satu kewajiban setiap bulan.

Gunakan Kad Kredit dengan Bijak

Kad Kredit juga membantu dalam menguruskan perbelanjaan jika anda bijak menggunakannya. Contohnya, gunakan promosi yang ditawarkan untuk membeli barang-barang yang anda perlukan, atau anda boleh menggunakannya untuk membayar bil. Jangan lupa untuk membayar hutang-hutang anda apabila menerima bil kad kredit.

Melabur

Setelah membahagikan wang simpanan dan perbelanjaan harian, anda mungkin masih ada lebihan gaji. Ada baiknya jika anda menggunakan lebihan gaji tersebut untuk membuat pelaburan dalam bentuk insuran, Dana Bersama, membeli emas atau pun perhiasan yang bernilai. Melabur berbeza daripada simpanan biasa di mana anda masih boleh melakukan pengeluaran wang bila-bila masa. Apabila melabur, wang anda disimpan dalam bentuk lain dan tidak dapat dikeluarkan sesuka hati. Cara ini membuatkan wang anda tidak terganggu, tetapi dapat mendatangkan keuntungan di masa hadapan.

Buat Perbandingan

Bandingkan perbelanjaan dengan belanjawan. Anda harus melalui langkah ini untuk mengetahui samada perbelanjaan anda sesuai dengan belanjawan yang dibuat, atau melebihi. Jika perbelanjaan terlebih maka anda perlu mengubah belanjawan. Bandingkan dengan catatan perbelanjaan harian anda untuk mengenalpasti keperluan yang memerlukan peruntukan yang besar.

http://www.usahawan.com/umum/tips-bijak-menguruskan-gaji-bulanan-yang-terhad.html

About MJasni AShukri

Bergiat sepenuh masa dalam IT sejak tahun 2006 sebagai pembangun website, perekabentuk grafik dan videografi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Top