Sentuhan fotografi wanita

np5-660x440-960x540.jpg

BUKAN mudah bagi wanita bekerja dalam industri yang dikuasai oleh golongan lelaki. Tetapi ia bukan penghalang untuk golongan Hawa menceburi kerjaya yang mereka minati.

Jika dahulu, kerjaya jurugambar misalnya banyak didominasi oleh kaum Adam tetapi hari ini, ia semakin mendapat tempat di hati wanita yang menjadikan bidang itu sebagai kerjaya sepenuh atau separuh masa.

Semua tahu, dalam bidang fotografi, setiap keping gambar yang diambil cukup bernilai. Ia dikatakan mampu menyampaikan perasaan yang melampaui batas perkataan.

Malah sebenarnya, bidang fotografi telah diterokai golongan wanita sejak kamera dicipta sekitar 1839. Tetapi tidak ramai golongan wanita bekerja dalam bidang tersebut seperti hari ini.

Wanita sekarang mampu membina nama berdasarkan imej yang diambil sebagaimana dua wanita ini yang menjadikan seni foto sebagai kerjaya mereka.

Dua wanita yang dimaksudkan itu ialah pengasas kepada sebuah komuniti jurugambar amatur yang dikenali sebagai Ladiesfoto.

Nurul Huda dan Norraien (kanan) bangga dengan koleksi foto hasil kreativiti mereka.

Ketika bertemu dengan Nurul Huda Jamal Nasir, 27 dan Norraien Nordin, 25, mereka berdua sepakat mengatakan bahawa mereka menerokai bidang tersebut sebagai hobi.

Nurul Huda berkata, beliau terjun dalam bidang tersebut secara tidak sengaja selepas membeli camera DSLR pertama, model Canon 450D.

“Saya bermula dari hobi dan kemudiannya saya semakin berminat selepas mahir menggunakan perisian suntingan foto.

“Saya suka terokai sesuatu bidang yang baru lebih-lebih lagi bidang fotografi menjadikan saya yang lebih kreatif,” katanya.

Nurul Huda bermula bukan sebagai jurugambar sebaliknya sebagai penyunting gambar dan pereka grafik.

“Selepas itu, saya diberi kepercayaan untuk mengambil gambar perkahwinan. Pada masa itu saya mencubanya secara suka-suka.

“Banyak yang saya pelajari dan pelbagai pengalaman saya tempuhi. Ketika itu saya ambil gambar pun hanya berbekalkan kamera kosong tanpa gajet sampingan seperti lampu kilat (flash) dan lensa lain,” jelasnya.

Tambahnya, bidang fotografi memberikannya kepuasan melalui hasil kerja sendiri dari mengambil gambar hinggakan ke proses mereka bentuk album untuk gambar tersebut.

Malah beliau turut melaburkan RM9,000 membeli peralatan kamera sedikit demi sedikit seperti lensa 55-200mm dan pelbagai peralatan yang diperlukan.

Jurugambar bebas

Sementara itu Norraien berkata, dia memulakan bidang itu dengan kamera pertamanya iaitu kompak digital jenama Samsung.

Dari kamera mini itu, Norraien bertukar kepada sebuah kamera DSLR Canon 350D dan secara tidak langsung bermulalah perjalanan kerjayanya sebagai jurugambar bebas.

“Pada mulanya saya aktif mengambil gambar untuk majlis-majlis ‘gig’ yang diadakan disekitar Kuala Lumpur.

“Pada masa itu, saya bermula sebagai jurugambar sokongan dan selepas lima tahun dalam bidang ini saya kini mampu berdiri sendiri malah saya juga telah membeli sebuah lagi kamera jenama Canon 60D,” ujarnya.

Katanya, hampir RM12,000 telah dilaburkan untuk membeli pelbagai peralatan yang diperlukan.

Selain itu, Norraien juga menguruskan perniagaan milik keluarganya yang menyediakan perkhidmatan sewa kanopi, sistem bunyi, set karaoke, meja banquet dan pentas.

Baginya, suka duka merupakan cabaran biasa yang perlu dihadapi sebagai seorang jurugambar.

“Ada orang yang menghargai hasil kerja kita manakala ada juga yang tidak suka dengan hasil kerja kita.

“Oleh itu, saya sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan mutu kerja saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persaingan dengan golongan jurugambar lelaki, Nurul Huda berkata, persaingan itu merupakan sesuatu yang sihat dan hasilnya juga berlainan diantara satu sama lain.

“Bersaing dengan jurugambar lelaki memang mencabar kerana orang ramai memandang rendah kepada kaum wanita dan kami anggap ia sebagai cabaran yang positif.

“Selaku wanita, kami kena berfikiran positif dan yakin terhadap kebolehan masing-masing,” jelasnya.

Bijak tangani emosi

Norraien berkata, pelanggan mereka pelbagai dan sebagai jurugambar wanita ia memberikan mereka kelebihan yang jurugambar lelaki tidak boleh lakukan.

“Saya rasa, jurugambar wanita lebih bijak mengawal emosi dan keadaan. Malah pelanggan sekarang lebih selesa menggunakan perkhidmatan jurugambar wanita.

“Ini kerana, sentuhan wanita lebih terperinci. Malah setiap gambar yang dirakamkan kami berdua lebih bercirikan keadaan romantik terutamanya ketika majlis perkahwinan.

“Jurugambar wanita juga lebih mudah bergerak keluar masuk ke bilik pengantin wanita berbanding jurugambar lelaki,” ujarnya.

Nurul Huda berkata, perbezaan diantara jurugambar lelaki dan wanita ialah dari segi penggunaan elemen seni yang dihasilkan.

“Jurugambar lelaki lebih kepada kreativiti tetapi jurugambar wanita lebih suka gunakan elemen yang menyentuh perasaan dan ia nampak lebih romantik apabila diadaptasikan dalam gambar kahwin.

“Bagaimanapun, jika golongan lelaki boleh buat, kami pun boleh buat kerana bidang ini tidak begitu lasak jika dibandingkan dengan bidang lain,” katanya.

Bagi mereka berdua, wanita pun boleh mencipta identiti sendiri selain sentuhan yang bakal meninggalkan kenangan terindah buat pasangan pengantin baru.

“Setiap gambar kahwin, jurugambar perlu bijak meluahkan perasaan dalaman melalui gambar dan jurugambar wanita lebih mudah mesra membantu pasangan yang kekok ketika sesi penggambaran,” kata mereka.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Feminin&pg=fe_01.htm#ixzz4WnMwBQcd
© Utusan Melayu (M) Bhd

About MJasni AShukri

Bergiat sepenuh masa dalam IT sejak tahun 2006 sebagai pembangun website, perekabentuk grafik dan videografi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Top